Wednesday, July 31, 2013

GELATIN

Penggunaan ramuan gelatin yang diragui status halalnya baik dalam industri makanan, farmaseutikal mahupun kosmetik menjadikan pengguna di negara ini lebih berhati-hati dalam memilih produk. Ironinya, semakin tinggi kesedaran pengguna tentang isu ini, semakin banyak produk yang dikenal pasti mempunyai unsur haram dalam pasaran. “Isu penggunaan gelatin babi dalam kebanyakan produk bukan sahaja memberi kesan kepada orang Islam, malah turut mendapat perhatian daripada penganut agama lain, sama ada mereka yang mengamalkan pemakanan berasaskan sayur-sayuran atau vegetarian mahupun pengeluar produk itu sendiri. Mengenali gelatin, ia merupakan ramuan penting yang banyak digunakan dalam pembuatan makanan seperti kek, biskut, sos, dan ayam goreng. Selain penting dalam pengeluaran makanan, ia turut menjadi bahan utama dalam pembuatan sarung kapsul ubat-ubatan. Gelatin ialah protein yang dihasilkan daripada kulit, sendi dan tulang haiwan seperti babi, lembu dan kerbau. Gelatin berfungsi sebagai penggebu pastri serta penstabil, pemekat, pengawet dan pengilat makanan, keunikan fungsi gelatin menyebabkan ia tidak dapat ditandingi oleh bahan lain di dunia. Gelatin adalah salah satu anugerah Tuhan kepada manusia. Dengan gelatin, pelbagai perkara dapat diselesaikan. Ia menjadi pelengkap dalam pelbagai industri, contohnya industri makanan. Di Eropah, ia telah digunakan secara meluas sejak beratus tahun dahulu sebagai penebal, pelekat, pengemulsi, agen pembuih, penahan lembapan, pembaik tekstur dan ejen pengikat yang menjadikan sesuatu makanan kelihatan lebih baik. Kerana fungsinya itu, sesetengah produk mungkin tidak dapat dihasilkan tanpa menggunakan gelatin. Antara makanan harian yang berkemungkinan mengandungi gelatin ini seperti: -Gula-gula getah -Gula-gula Toffee -Jelly -Dessert segera (Hanya cairkan guna air panas) -Yoghurt (Sekarang dah banyak gunakan Kanji terubahsuai berasal dari tumbuhan) -Produk kosmetik & farmaseutikal serta makanan tambahan seperti minyak ikan dan minyak bawang putih dalam bentuk kapsul lembut. Pada November 2009, satu penyelidikan usaha sama antara Universiti Sains Malaysia (USM) dan Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Gam Lay Harn mendapati, 30 peratus daripada 100 sarung kapsul ubat yang diuji mengandungi gelatin daripada babi ataupun campuran gelatin lembu dan babi. Gelatin daripada babi lebih meluas digunakan kerana ia lebih murah berbanding gelatin lembu. Sungguhpun begitu, keadaan ini tidak menggambarkan keseluruhan pasaran gelatin kapsul di Malaysia kerana ada pengeluar yang bertindak menukar sumber gelatin daripada babi kepada lembu. Bagaimanapun, pengeluaran gelatin berasaskan haiwan halal amat terhad malah jika ia diproses di luar negara pun, jumlahnya tidak mencukupi. Mulai sekarang pesan kepada sahabat-sahabat dan anak-anak kita supaya lebih berhati-hati jika ingin membeli makanan sedemikian. Pastikan baca label dahulu sebelum membelinya dan yang paling penting adalah pastikan berstatus halal baru beli! -sumber : halalgenius.com