Wednesday, July 21, 2010

PANTUN SEBAGAI PELENGKAP WACANA PENGUCAPAN AWAM

Mohamad bin Musip
Munsyi Dewan dan Peminat Bahasa, Sastera, Budaya
mhm9070@yahoo.com


Kalau mencari tempat mandi,
Pertama teluk kedua pantai;
Kalau mencari pemimpin negeri,
Pertama elok kedua pandai.

Awal Bicara

Alangkah indah dan murninya pantun di atas apabila dilafazkan dalam majlis yang dihadiri oleh orang kenamaan atau pemimpin. Pantun tersebut bermaksud untuk memuji dan menghargai pemimpin yang sudi hadir dalam majlis. Pujian yang demikian, pada hemat saya, suatu pujian yang jujur. Bahkan dari sudut komunikasi, pantun tersebut merupakan suatu penghargaan, iaitu menghargai sifat “elok” (karisma) dan “pandai” (bijaksana) yang sememangnya menjadi ciri khusus bagi pemimpin, dalam apa-apa jua peringkat kepemimpinan. Demikianlah terpancarnya kebijaksanaan fikiran dan perasaan pencipta dan pelafaz pantun dalam situasi yang mengizinkan pantun diketengahkan sebagai suatu wacana pengucapan kepada khalayak.

Batas dan Kewajaran Pembicaraan

Tentang hal tersebut, pandangan Prof. Muhammad Haji Salleh dalam pengenalan buku Kurik Kundi Merah Saga (2005a) adalah cukup relevan dengan perbincangan ini. Menurut beliau, pantun hadir dalam berbagai-bagai ruang hidup masyarakat di Malaysia, yang menunjukkan bahawa bukan sahaja pantun itu penting, tetapi juga hakikat betapa masyarakat Malaysia itu ialah manusia seniman, yang peka kepada seni sastera. Bertolak daripada kenyataan ini, kertas kerja ini cuba membincangkan perihal pantun dalam wacana pengucapan awam dengan mengambil kira penggunaan pantun-pantun baharu ciptaan sendiri yang dianggap segar dan bukan klise. Perbincangan ini dirasakan amat wajar memandangkan pantun sebagai suatu wacana jarang-jarang diperkatakan dalam mana-mana buku pengucapan awam yang muktabar.

Para sarjana atau pengkaji telah memperkatakan perihal pantun dalam pelbagai sudut pandangan. Bagi kertas kerja ini, yang saya pilih hanyalah pantun ciptaan saya sendiri di bahagian pendahuluan dan penutup bagi dua bentuk teks pengucapan awam, iaitu ucapan dan pengacaraan majlis. Pada hakikatnya, struktur sesuatu bentuk teks pengucapan awam terdiri daripada tiga komponen utama, iaitu pendahuluan, badan atau isi, dan penutup. Pembicaraan saya ini demikian bentuknya atas kesedaran bahawa sebagai penulis serta penggiat bahasa, sastera, dan budaya, saya bertanggungjawab menambah himpunan puisi (khususnya pantun) untuk memperkaya khazanah kepustakaan berbahasa Melayu. Maksudnya, saya memilih prinsip untuk tidak bergantung pada pantun-pantun klasik yang sedia ada, yang memungkinkan terjadinya klise atau streotaip dalam pengucapan. Atas kewajaran ini, saya terdorong untuk mencipta pantun (dan puisi-puisi lainnya) supaya dapat dijadikan pelengkap kepada wacana pengucapan awam, terutamanya teks ucapan dan teks pengacaraan majlis yang dirujuk kepada saya sebagai penanggungjawabnya. Mudah-mudahan hasil ciptaan sendiri ini dapat dijadikan subjek kajian oleh peminat bahasa dan sastera Melayu, barangkali setelah ketiadaan saya kelak.

Pengucapan Awam sebagai Suatu Cabang Seni

Akhir-akhir ini, dalam kesempatan saya terlibat dengan aktiviti latihan pidato, saya berpeluang beberapa kali bersua muka dan mendengar kepetahan bicara jurulatih profesional pidato, Dato’ Dr. Syed Ahmad Shamsuddin Al-Saggof. Yang terkini, pada 9 April 2010, ketika menyampaikan ulasan penghakiman pertandingan akhir Pidato Integriti di Institut Integriti Malaysia, Kuala Lumpur, beliau menegaskan bahawa pengucapan awam ialah seni dalam meluahkan kata-kata dengan penuh kebijaksanaan untuk mempengaruhi khalayak. Dalam kertas ceramah kejurulatihan pidato kendaliannya yang saya hadiri, beliau menulis bahawa pidato sebenarnya seni meluahkan kebijaksanaan (ilmu dan seni berfikir) yang menggunakan seni bahasa indah dan menarik untuk menambat, memukau, menarik, dan memepengaruhi khalayak (Syed Ahmad Syed Shamsuddin Al-Saggof, 2009). Dalam pengertian umum, pengucapan awam ialah suatu interaksi atau komunikasi penghantaran mesej antara seorang pengucap dengan sekumpulan pendengar, sama ada melalui lisan, bukan lisan, atau bahasa isyarat (Maimunah Osman, 2000; Zawiyah Mohammad Yusof, 2009).

Secara verbal-linguistiknya, saya berpendapat bahawa konsep “Seni Pengucapan Awam” boleh ditanggapi sebagai bentuk pengucapan yang mencakupi aspek pilihan kata dan frasa, susunan klausa dan ayat, serta binaan perenggan dan wacana, yang disampaikan kepada khalayak dengan menitikberatkan fungsi estetik bahasa.

Yang dimaksudkan dengan “estetik” ialah nilai keindahan menerusi upaya memanipulasikan bahasa untuk menampilkan kebijaksanaan pelafaz ucapan. Kamus dewanejapro (2007) menakrifkan “estetik” sebagai keindahan atau penghargaan terhadap keindahan. Lebih khusus, “estetik” ialah keindahan dalam puisi yang berhubung dengan penyataan perasaan, pemikiran, dan gambaran melalui bahasa (Kamus Puisi, 2005b). Dalam konteks bicara ini, nilai keindahan pantunlah yang ingin saya utarakan.

Berkaitan keindahan dalam pantun, Rahman Shaari (2003) berpendapat bahawa pantun yang mencapai tingkat puisi ialah pantun yang mempunyai citra yang kedengaran harmonis, misalnya pembayangnya mengemukakan kenyataan yang logik, manakala maksudnya jelas dapat difahami pendengar atau pembaca.

Pantun sebagai Suatu Wacana Pengucapan Awam

Ahmad Badrul Sani Baharuddin menerusi buku Bijak Berbicara Mencuit Rasa (2006) mengakui bahawa pantun sesuai digunakan dalam perencanaan pengenalan pengucapan awam yang menarik. Menurutnya, pantun melambangkan suatu ciri budaya bahasa Melayu yang berasaskan sopan santun dan tutur kata yang halus. Penggunaan pantun, menurutnya lagi, adalah untuk membina kebersamaan dalam kalangan pengucap dengan khalayak menerusi luahan kata-kata yang bersahaja sebelum sesuatu mesej disampaikan. Tujuannya adalah untuk membuatkan khalayak berasa selesa dengan pengucap.

Pandangan Ahmad Badrul dapat saya hubungkaitkan dengan kajian Harun Mat Piah, seperti yang dipetik oleh Prof. Muhammad Haji Salleh (1991, dalam Kurik Kundi Merah Saga, 2005a), yang menyatakan bahawa 75% pantun Melayu ialah pantun cinta. Secara tersiratnya dapat ditafsirkan bahawa kenyataan itu menunjukkan betapa pantun dapat mendekatkan pengucap dengan khalayak, sebagaimana cinta sebagai suatu naluri insani dapat mendekatkan sesama manusia. Kenyataan ini disokong oleh pengalaman peribadi saya ketika hadir dalam pelbagai majlis rasmi. Saya dapat menyaksikan khalayak memberikan reaksi spontan yang amat positif dengan bertepuk tangan sebaik-baik sahaja pengucap selesai melafazkan pantun. Walau bagaimanapun, kesan positif tersebut bergantung juga pada cara pantun dilafazkan. Oleh hal yang demikian, amat wajarlah jika pantun dikatakan pelengkap kepada wacana pengucapan awam, sama ada dalam genre pidato, syarahan, ucapan, debat, forum, pengacaraan majlis, atau pembentangan makalah.

Pantun dalam Bahagian Pendahuluan Teks Ucapan

Menurut Ahmad Badrul Sani Baharuddin (2006), sesuatu pengenalan harus dapat menarik minat khalayak untuk terus mendengar bicara, antaranya menerusi pantun, petikan, kata-kata hikmah, jenaka, dan soalan. Saya perturunkan serangkap pantun dalam beberapa teks ucapan dan teks pengacaraan daripada peristiwa sebenar yang berlaku pada tarikh tertentu di institut ini.

1. Majlis meraikan guru-guru dari Thailand pada 27 Ogos 2007:

Asam kundang si asam pauh,
Dua pohon ditanam berselang;
Kalian bertandang darilah jauh,
Moga gembira bukan kepalang.

2. Majlis perasmian Seminar Penyelidikan Zon Selatan, 10 - 12 September 2007:

Cenderawasih terbang berkawan,
Hinggap lama di ranting berduri;
Terima kasih kepadamu tuan,
Sudi menerima undangan kami.

3. Majlis perasmian Seminar Penyelidikan Zon Selatan, 10 -12 September 2007:

Pohon jelatang pohon berangan,
Pohon tinggi di tengah belantara;
Selamat datang tetamu undangan,
Kami di sini menyambut gembira.

4. Majlis perasmian Kursus Dalam Perkhidmatan 2 Minggu Media dalam Pendidikan
Islam bagi Guru-guru Tahiland:

Berkain batik berkain pelikat,
Baba Nyonya menyambut tamu;
Kursus pendek menjadi singkat,
Tidak demikiannya dengan ilmu.

5. Majlis meraikan rombongan pelajar jurusan Bahasa Melayu dari Universiti
Antarabangsa Beijing, 26 Ogos 2007:

Pohon pauh di tepi permatang,
Pohon nangka di hujung batas;
Dari jauh tuan puan datang,
Orang Melaka menyambut ikhlas.

Pantun dalam Bahagian Pendahuluan Teks Pengacaraan

Seperti dalam teks ucapan, pantun dalam teks pengacaraan juga berfungsi untuk menimbulkan tarikan kepada khalayak. Bahkan, pada hemat saya, keperluan menyelitkan puisi tradisional khususnya pantun dalam teks pengacaraan lebih dirasakan perlu. Lima contoh teks daripada majlis yang berlainan dipaparkan di sini.

6. Majlis penutupan rasmi Kem KIA 2M, 11 September 2008:

Itik angsa memakan nangka,
Makan sekali di tempat redup;
Hari Selasa majlis dibuka,
Hari ini majlis ditutup.

7-8. Majlis perasmian Kursus Kepimpinan Politik Bahagian Ledang, 13 Mei 2006:

Pokok kacang tidak berduri,
Berdaun lekuk si pokok peria;
Selamat datang pemimpin negeri,
Hadirnya Dato’ menambah ceria.

Ladang tebu di pinggir pekan,
Kebun durian di pinggir bendang;
Sekalian tetamu sama meraikan,
Program latihan Bahagian Ledang.

9-10. Majlis Perhimpunan Bulanan dan Penangguhan Sambutan Bulan Bahasa dan
Sastera Negara peringkat IPPM, 29 September 2006:

Pohon markisa di tanah tinggi,
Ditanam juga dengan akasia;
Bulan Bahasa sempurna dirai,
Citra bangsa warga Malaysia.

Pohon rambutan ditanam sendiri,
Ditanam orang sentiasa dijaga;
Perhimpunan bulanan turut dirai,
Menyampai ucapan untuk warga.

11. Wacana Profesional Keguruan Anjuran Bersama Universiti Industri Selangor
(UNISEL) dan Jabatan Pelajaran Melaka (JPM), 25 November 2006:

Rumah gadang cantik jendela,
Pintu dikunci dengan engsel;
Selamat datang kepada semua,
Ke majlis ilmu anjuran UNISEL.

12. Majlis Mesyuarat Pembukaan Audit Dalaman Bil. 2/ 2008, 1 April 2008:

Burung tukang terbang ke hutan,
Burung serindit hinggap di titi,
Selamat datang hadirin sekalian,
Untuk mengaudit institut kami.

Pantun dalam Bahagian Penutup Teks Ucapan

Bahagian penutup sesuatu ucapan juga perlu dititikberatkan kerana bahagian ini sama pentingnya dengan bahagian pembuka ucapan, iaitu harus meninggalkan kepuasan kepada khalayak. Untuk itu, pengucap disarankan mengakhiri ucapan dengan kata-kata hikmah, peribahasa, atau pantun (Zawiyah Mohammad Yusof, 2009). Pantun-pantun 13 – 19 ialah contoh pantun yang berkaitan.

13-14. Majlis sambutan Hari Guru peringkat IPGKPM, 18 Mei 2009:

Pohon ru di hujung pekan,
Tumbuh dekat pinggir paya;
Hari Guru bersama raikan,
Dengan tekad penuh ceria.

Pokok tebu di hujung laman,
Laman berbunga nampak selesa;
Buat tetamu dan hadirin budiman,
Mari bersama membina bangsa.

15. Majlis sambutan Malam Ambang Merdeka dan Pelancaran Bulan Bahasa dan
Sastera Negara peringkat IPPM, 30 Ogos 2007:

Pokok nangka sudah terbilang,
Kuning warna isinya lembut;
Ambang merdeka kini menjelang,
Marilah kita bersama menyambut.

16-17. Majlis penutupan rasmi Kursus Pemimpin Muda Tahap Dua Kadet Pandu Puteri
KDPM Zon Selatan 2004:

Pulau Pangkor pantainya indah,
Tempat mandi segenap lapisan;
Aktiviti gerko membina sahsiah,
Sahsiah terpuji membentuk insan.


Tempat mandi segenap lapisan,
Pengunjung ceria aneka bangsa;
Sahsiah terpuji membentuk insan,
Insan mulia pendidik perkasa.

18. Majlis meraikan rombongan pelajar jurusan Bahasa Melayu dari Universiti
Antarabangsa Beijing, 26 Ogos 2007:

Pohon jering tanam di tanjung,
Sama tinggi si pohon kelapa;
Dari Beijing datang berkunjung,
Yang dicari sudahkah berjumpa?

19. Majlis perasmian pertandingan Debat Piala Munsyi Abdullah, 6 September 2007:

Beli pauh di pekan Kelian,
Mencari kuini sukar berjumpa;
Begitu jauh pulangnya kalian,
Kami di sini janganlah dilupa .

Pantun dalam Bahagian Penutup Teks Pengacaraan

20-21. Majlis perasmian pertandingan KAGUM Bahas Bahasa Melayu Zon Selatan, 24 –
27 Julai 2006:
Bunga kantan batik hiasan,
Bunga seroja penghias sarung;
Dua pasukan menguji kepetahan,
Di dalam dewan majlis bertarung.

Pohon langsat berbuah lebat ,
Ambil galah jolokkan hamba;
Begitu hangat orang berdebat,
Menang kalah adat berlumba.

22-23. Majlis Mesyuarat Pembukaan Audit Dalaman Bil. 2/ 2008, 1 April 2008:

Pokok pauh berbelas batang,
Di pinggir hutan di Tanjung Jara;
Dari jauh tuan/puan datang,
Kami raikan dengan gembira.

Pokok di taman tinggal ranting,
Rantingnya lalu jatuh ke titi;
Audit Dalaman urusan penting,
Untuk memacu jaminan kualiti.

24. Majlis Pembukaan Rasmi Kursus Kepimpinan, 13 Mei 2006:

Pekan Kota di hujung negeri,
Pekan sejajar tempat bertemu;
Majlis kita cukup berseri,
Menteri Besar menjadi tetamu.

25. Majlis Mesyuarat Penutupan Audit Dalaman Bil. 2/2007, 4 September 2007:

Indah sekali pokok bonsai,
Rimbun sekata menambah seri;
Audit kualiti sudah selesai,
Tindakan kita memperbaiki diri.

26. Wacana Profesional Keguruan Anjuran Bersama Universiti Industri Selangor
(UNISEL) dan Jabatan Pelajaran Melaka (JPM), 25 November 2006:

Tanah Rata tempatnya indah,
Hijaunya pohon saujana mata;
Majlis kita berakhirlah sudah,
Kemaafan dimohon tersilap kata.


Rumusan dan Analisis Pantun Pengucapan Awam

Menerusi kertas kerja ini, telah saya paparkan 26 rangkap pantun empat kerat yang pernah dilafazkan dalam dua bentuk pengucapan awam, iaitu ucapan dan pengacaraan majlis. Pemikiran yang dapat saya utarakan daripada pembicaraan singkat ini, antaranya ialah:

(a) pantun yang dicipta mesti mengekalkan ciri penciptaan pantun yang lazim, iaitu dari segi dua baris pembayang berlatarkan alam dan dua baris maksud pantun, pola rima tengah dan rima hujungnya “a-b-a-b”, bilangan perkataannya empat atau lima, dan bilangan suku katanya lapan hingga 12;

(b) pantun yang disisipkan dalam binaan teks pengucapan awam perlu mengambil kira wujudnya elemen pertautan (kohesif) dan pertalian (koheren);

(c) pantun perlu diucapkan mengikut nada yang sesuai dengan situasi majlis untuk memberikan kesan emotif kepada khalayak; dan

(d) teks ucapan dan teks pengacaraan (serta teks pengucapan awam lainnya) perlu didokumentasikan secara rapi untuk tujuan rujukan dan penerusan atau penambahbaikan tugas yang berkaitan.

Hasil analisis (Jadual 1 dipadamkan atas sebab teknikal) menunjukkan bahawa secara metakognitifnya, pantun-pantun telah dicipta dengan mematuhi struktur atau ciri-ciri visualnya. Pada umumnya, pembayang yang dipilih merupakan objek alam semesta. Maksud yang ingin disampaikan bergantung pada tujuan pengucapan, dengan berlatarkan situasi setempat. Lazimnya, pantun-pantun yang disediakan adalah berkaitan dengan aktiviti yang berlangsung di institut, seperti sambutan Hari Guru dan Mesyuarat Pembukaan dan Penutupan Audit Dalaman. Barangkali yang agak mencabar minda pencipta pantun mutakhir ini ialah kurangnya penekanan pada aspek perhubungan antara pembayang dengan maksud. Hal ini, menurut Dr. Rosli Saludin (2006) masih merupakan polemik yang timbul dalam kalangan pengkaji pantun. Bagi saya, pembayang dengan pola rima a-b-a-b lebih berfungsi untuk menyerlahkan unsur pertentangan bunyi, yang apabila dilafazkan dapat menimbulkan daya tarikan kepada pendengar. Demikian juga pada perimbangan bilangan perkataan dan suku kata, apabila dilafazkan, menepati temponya. Hal ini menjadikan bentuk dan ciri pantun kekal berzaman, seperti yang dinyatakan oleh Harun Mat Piah (2006), bahawa pantun ialah citra bangsa yang relevan sepanjang zaman. Menurutnya lagi, pantun Melayu dengan tema dan mesej yang cukup luas adalah sebahagian daripada wadah yang menyerlahkan jati diri bangsa Melayu. Jelasnya, pantun-pantun (dan puisi-puisi lain seperti gurindam, seloka, syair, dan perbilangan) yang ditampilkan dalam teks pengucapan awam, sebenarnya berhasrat murni untuk mendekatkan khalayak kepada budaya dan pandangan semesta (tasawur) bangsa Melayu.


Akhir Bicara

Kertas kerja ini sekadar membicarakan pantun secara kontekstual dalam ranah pengucapan awam, khususnya ucapan dan pengacaraan. Berbatas pada dua cabang pengucapan awam itu, saya telah memperlihatkan kesesuaian pantun untuk menarik minat khalayak kepada pengucapan yang disampaikan. Hasil analisis menyarankan secara bijaksana kepada kita supaya berfikir bahawa pencipta pantun perlu mendalami pengetahuan tentang struktur dan mesej pantun agar pantun yang disisipkan dalam teks pengucapan awam tampak terserlah dan memikat khalayak. Dengan yang demikian, wacana pengucapan awam akan dapat bertahan dalam ingatan jangka panjang pendengar.

Jika pantun pada awal bicara merujuk kepada kepimpinan, pantun penutup ini lebih jelas menyampaikan mesej tentang akhir kepada kehidupan kita yang fana ini.

Halia ini tanam-tanaman,
Ke barat juga akan condongnya;
Dunia ini pinjam-pinjaman,
Akhirat juga akan sudahnya.

Akhirul kalam, dititipkan pantun lapan kerat ini untuk renungan khalayak.

Kedai di pekan menjual gelama,
Menjual juga pelbagai ubat,
Ubat mujarab makan berulang,
Ketika makan berhati-hati;
Saya bukan orang ternama,
Bukan juga tergolong hebat,
Salah silap bukan dirancang,
Maaf diberikan ilmu diberkati.

Bibliografi

Ahmad Badrul Sani Baharudin (2006). Bijak Berbicara Mencuit Rasa: Panduan Seni
Berbicara Umum. Kuala Lumpur: Al-Ameen Serve Holdings.

Dewan Bahasa dan Pustaka (2005a). Kurik Kundi Merah Saga. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.

________________________ (2005b). Kamus Puisi. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
dan Pustaka.

Harun Mat Piah (2006). “Pantun: Citra Bangsa Relevan Sepanjang Zaman”, kertas
kerja Seminar Sejuta Pantun, 26 Januari 2006, anjuran bersama Institut Kajian
Sejarah dan Patriotisme Malaysia (IKSEP) dan Dewan Bahasa dan Pustaka
Wilayah Selatan (DBPWS).

Kamus dewanejapro edisi 2007. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka dan
The Name Technology Sdn. Bhd.

Maimunah Osman (2000). Pengucapan Awam yang Berkesan. Kuala Lumpur:
Institut Tadbiran Awam Negara.

Rahman Shaari, Prof. (2003). Kertas Bengkel Menulis Puisi untuk Kursus Penulisan Puisi
Kelab Penulis Zaharah Nawawi (KEPEZI) dan pelajar-palajar MPPM, 15 Oktober
2003.

Rosli Saludin, Datuk Dr. (2006). “Bahasa dalam Pantun dan Keistimewaannya”, kertas kerja
Seminar Sejuta Pantun, 26 Januari 2006, anjuran bersama Institut Kajian
Sejarah dan Patriotisme Malaysia (IKSEP) dan Dewan Bahasa dan Pustaka
Wilayah Selatan (DBPWS).

Syed Ahmad Syed Shamsuddin Al-Saggof, Dato’ Dr. (2009). Kertas ceramah dalam Bengkel
Kejurulatihan Pidato anjuran Jabatan Bahasa Melayu dengan kerjasama Kelab Seni
Pengucapan Awam IPG Kampus Bahasa Melayu, 20 Ogos 2009.

Zawiyah Mohammad Yusof (2009). Kemahiran Komunikasi. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
dan Pustaka.

*Teks Ucapan dan Teks Pengacaraan: Folder Koleksi Peribadi Mohamad Musip.


* Dibentangkan dalam Seminar Puisi Melayu Tradisional anjuran IPG Kampus Perempuan
Melayu dengan sokongan Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan, pada 13 – 14
April 2010 di IPG Kampus Perempuan Melayu, Melaka

5 comments:

  1. salam, seronok baca pantun-pantun disini.. sedap dan kena lenggoknya

    ReplyDelete
  2. Terima kasih. Perkongsian ilmu yang bermanfaat.

    ReplyDelete
  3. terima kasih di atas perkongsian..

    ReplyDelete
  4. wadah pengucapan awam yg hebat :-)

    ReplyDelete
  5. koleksi yang sangat indah dan menarik. tahniah.

    ReplyDelete