Tuesday, February 7, 2012

GELATIN




Gelatin ialah bahan asas yang biasa digunakan dalam banyak produk perubatan, kosmetik dan produk makanan. Antara produk utama menggunakan gelatin ialahi kapsul ubat-ubatan,gula-gula getah, gula-gula, kek dan agar-agar. Sumber utama penghasilan gelatin ialah daripada haiwan dimana diposes melalui rebusan tulang, kulit dan tendon haiwan.

Adakah gelatin halal? Gelatin adalah halal sekiranya haiwan yang digunakan dalam pengeluarannya adalah drpd haiwan yang halal di makan, jika haiwan yang halal sekalipun, wajid dipastikan disembelih mengikut syariat Islam. Gelatin juga boleh diperolehi dari sumber ikan. Gelatin jenis ini adalah halal kerana ikan adalah haiwan yang halal untuk dimakan dan merupakan sumber pemakanan yang berkhasiat dan bernilai.

Bolehkah gelatin didapati daripada tumbuhan? Terdapat gelatin dari sumber tumbuhan yang diperolehi dari rumpai laut yang dikenali sebagai agar-agar. Gelatin berasaskan tumbuhan juga boleh diperolehi dari pokok Kuzu, gam dari pokok Guar dan carrageenan yang dihasilkan dari Irish Moss.

Gelatin menjadi isu di dalam aspek halal kerana 90% pengeluaran gelatin di pasaran dunia adalah tidak dapat dipastikan status halal. Tanpa gelatin, sesetengah produk tidak mungkin dapat dihasilkan.

Firman Allah yang bermaksud: “Diharamkan bagimu (memakan) bangkai, darah, daging babi, (daging haiwan) yang disembelih atas nama selain Allah, yang tercekik, yang terpukul, yang jatuh, yang ditanduk, dan diterkam binatang buas, kecuali yang sempat kamu menyembelihnya, dan (diharamkan bagimu) yang disembelih untuk berhala dan (diharamkan juga) mengundi nasib dengan anak panah, (mengundi nasib dengan anak panah itu) adalah kefasikan.” (Surah Al-Maidah, ayat 3)

Pengeluaran gelatin halal dunia hanya 10% peratus sahaja, sedangkan permintaan industri halal sentiasa meningkat. Sampai bila umat Islam harus bergantung hasil penemuan orang bukan Islam? Adakah kaedah darurat itu terpakai sepanjang zaman? Adakah sentiasa tiada pilihan?

Ada beranggapan semua ubat adalah diharuskan. Jika merujuk keputusan Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan melalui e-fatwa JAKIM, ada kategori ubat yang tidak dibenarkan penggunaannya seperti ubat Clexane dan Fraxiparine kerana hukumnya haram.

Muzakarah juga memutuskan penggunaan vaksin BioThrax dan RotaTeg adalah tidak dibenarkan. Antara hujah yang digunakan adalah belum sampai darurat dan ada pilihan lain.

Dalam hal ini, JAKIM sebagai agensi bertanggungjawab untuk pengesahan dan pensijilan halal dunia hanya membuat pemeriksaan serta pemantauan kepada produk yang menggunakan logo halal saja. Pensijilan halal di Malaysia bersifat sukarela.

Justeru, mana-mana produk termasuk kapsul gelatin babi jika tidak menggunakan logo halal atau perbahasaan halal maka tidak melakukan kesalahan mana-mana undang-undang dan boleh dijual di pasaran.

Jika kapsul gelatin babi itu menggunakan logo halal atau perbahasaan halal, maka tindakan boleh diambil mengikut APD2011.

JAKIM hanya mengeluarkan sijil dan logo halal kepada produk farmaseutikal dalam kategori makanan tambahan, ubat tradisional dan produk kosmetik.

Kemasukan serbuk gelatin ke negara ini dikawal oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) yang mewajibkan permit import. Ia juga bermakna telah disahkan halal oleh Badan Islam di Negara Pengeluar yg diiktiraf oleh Jakim. Merujuk laman web JPV, hanya sumber gelatin dari Pakistan dan China dibenarkan masuk dan disahkan halal oleh JAKIM.

Bagaimanapun, kapsul gelatin kosong (tanpa isi) bebas masuk ke negara ini sama ada ia halal atau haram. Jika kapsul gelatin yang sudah diisikan sebarang cecair atau serbuk atau ubat maka ia di bawah kawalan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Semua ubat-ubatan yang diimport atau dikilangkan di negara kita perlu didaftarkan di bawah BPFK untuk memastikan ubat itu selamat, berkualiti dan berkesan, 'tanpa melihat status halal' sesuatu kapsul asalkan ditulis sumber haiwannya.

Industri farmaseutikal yang mendukung aspirasi kerajaan sudah tentu bertanggungjawab mengisytiharkan sumber kapsul dan menggunakan kapsul yang disahkan halal saja. Sebagai pengguna adalah sukar untuk mengenali sumber kapsul disebabkan revolusi teknologi terkini.

Nu’man bin Basyir meriwayatkan, beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Perkara halal adalah jelas dan yang haram juga jelas. Bagaimana pun di antara keduanya terdapat perkara yang tidak jelas (syubhah), yang ramai orang tidak mengetahuinya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Justeru, ke arah Malaysia sebagai hab halal dunia, agensi kerajaan berkenaan harus memikirkan dan bertindak bersama untuk menangani isu ini yang tiada penghujung jika meletakkan tanggungjawab isu halal dibahu JAKIM semata-mata.

No comments:

Post a Comment