Tuesday, April 13, 2010

Masuk ke politeknik dipertingkatkan

Oleh AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI
utusanperak@utusan.com.my
IPOH 5 April - Kementerian Pengajian Tinggi kini dalam usaha melakukan transformasi menyeluruh bagi menjadikan politeknik sebagai institusi pilihan yang menawarkan program berkualiti dan setanding dengan institusi pengajian tinggi (IPT) lain.

Setiausaha Bahagian Pengurusan Sumber Manusia kementerian itu, Ku Maharum Ku Yaacob berkata, usaha tersebut telah dimulakan sejak tahun lalu melalui pemisahan pengajian politeknik dan kolej komuniti.

''Bagi melaksanakan transformasi itu, kementerian akan meningkatkan kemasukan ke pengajian tinggi melalui penyediaan lebih banyak tempat dan peluang melanjutkan pelajaran dalam sistem politeknik.

''Kita akan meningkatkan kompetensi pembangunan ilmu melalui penaiktarafan secara berperingkat semua politeknik untuk menyediakan kursus bertaraf diploma dan ke atas serta mengurangkan secara berperingkat program sijil dan kemahiran yang nilai tambahnya rendah," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan sidang pertama Majlis Konvokesyen Politeknik Ungku Omar (PUO) Ke-39 di sini hari ini.

Pada sesi hari ini, seramai 755 pelajar institusi tersebut menerima sijil dan diploma masing-masing yang disampaikan oleh Ku Maharum.

Dalam majlis tersebut, Sho Zee Liang dan Mohamad Solehin Mohamed Sunar menerima Anugerah Kecemerlangan Akademik dan Kokurikulum Jabatan Kejuruteraan Elektrik bagi peringkat diploma manakala Jamley Mike dan Noor Mazni memenangi anugerah sama bagi peringkat sijil.

Menurut Ku Maharum, pelan transformasi itu bakal menjadikan sektor pengajian teknikal dan politeknik sebagai pilihan pelajar untuk melanjutkan pengajian dalam bidang kemahiran dan teknikal.

''Pelan itu bermatlamat menghapuskan persepsi am yang selama ini mendakwa sistem pengajian politeknik hanyalah laluan peluang kedua untuk para pelajar.

''Mentaliti lapuk yang beranggapan bahawa politeknik hanya berfungsi memberikan pendidikan kepada semi profesional dan pendidikan asas berteraskan kemahiran semata-mata harus disingkirkan," ujarnya.


sumber: Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment